
Adakah Bersedekah Hari Jumaat Lebih Afdhal Dibandingkan Hari Lain? Saya menerima persoalan yang menarik pada pagi ini berkenaan persoalan di atas, dan lebih menariknya persoalan yang diterima daripada orang yang sewajarnya dipanggil guru oleh saya. Barakallahu fikum Ustaz. Apabila seorang pensyarah bidang hadith bertanyakan soalan ini kepada saya, menunjukkan betapa ilmu itu sifatnya merendah diri. Ini yang perlu saya pelajari. Kita tidak tahu semua perkara. Persoalan ini mengambil kira pernyataan Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang berbunyi,
أَنَّ لِلصَّدَقَةِ فِيهِ مَزِيَّةً عَلَيْهَا فِي سَائِرِ الأَيَّامِ، وَالصَّدَقَةُ فِيهِ بِالنِّسْبَةِ إِلَى سَائِرِ أَيَّامِ الأُسْبُوعِ كَالصَّدَقَةِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِالنِّسْبَةِ إِلَى سَائِرِ الشُّهُورِ
“Sesungguhnya sedekah pada hari Jumaat memiliki keistimewaan tersendiri berbanding hari-hari lain. Dan sedekah pada hari itu pun lebih baik dibandingkan hari-hari lain sebagaimana sedekah pada bulan Ramadhan lebih baik dibandingkan bulan-bulan lain.” (Zad al-Ma`ad)
Persoalan, adakah dalil tentang perkara ini? Ini isu yang perlu kita selesaikan.
Satu,
bukan sahaja Ibn al-Qayyim yang berpandangan demikian. Masih ada ulama-ulama lain menyatakan hal yang seperti petikan dalam Tuhfah al-Habib `ala Sharh al-Khatib
,ويسن كثرة الصدقة وفعل الخير في يومها وليلتها
“Dan disunatkan memperbanyakkan sedekah dan melakukan perbuatan-perbuatan baik pada siang dan malam Jumaat”.
Dua,
beberapa ulama seperti Ibn Baz menyatakan kelebihan beramal wujud dalam hari-hari tertentu, dan tempat-tempat tertentu. Menurut Ibn Baz dalam fatwa beliau,
الأدلة الشرعية على أن الحسنات تضاعف في الزمان الفاضل والمكان الفاضل مثل: رمضان وعشر ذي الحجة، والمكان الفاضل: كالحرمين، فإن الحسنات تضاعف في مكة والمدينة مضاعفة كبيرة
“Dalil-dalil syarak menunjukkan kebaikan akan dibalas berganda-ganda pada masa yang memiliki kelebihan dan di tempat yang memiliki kelebihan seperti bulan Ramadhan dan 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Dan tempat seperti dua tanah haram. Sesungguhnya kebaikan dilipat gandakan di Makkah dan Madinah.” (https://binbaz.org.sa/categories/objective/232).
Tiga,
namun, al-Shatibi telah memberikan peringatan yang sangat penting berkenaan perkara ini.
Menurut beliau,
التخصيص من المكلف بدعة إذ هي تشريع بغير مستند، ومن ذلك تخصيص الأيام الفاضلة بأنواع من العبادات التي لم تشرع لها تخصيصا، كتخصيص
اليوم الفلاني بكذا وكذا من الركعات، أو بصدقة كذا وكذا، أو الليلة الفلانية بقيام كذا وكذا ركعة، أو بختم القرآن فيها، أو ما أشبه ذلك
“Mengkhususkan sesuatu ialah bid`ah lantaran ia dibuat tanpa dalil.
Antaranya mengkhususkan hari-hari yang memiliki kelebihan untuk melaksanakan ibadah-ibadah tertentu. Contohnya mengkhususkan hari-hari tertentu untuk solat beberapa rakaat. Atau untuk bersedekah. Atau mengkhususkan malam tertentu untuk qiyamullail, atau khatam al-Quran, atau seumpamanya.
“Beliau menegaskan lagi,
ولا حجة له في أن يقول: إن هذا الزمان ثبت فضله على غيره فيحسن فيه إيقاع العبادات، لأنا نقول: هذا الحسن هل ثبت له أصل أم لا؟
“Dan tidak boleh dijadikan hujjah pendapat ini; sesungguhnya waktu ini memiliki kelebihan tersendiri dibandingkan waktu lain, maka eloklah kita melakukan ibadah-ibadah. Alasannya kita menegaskan, adakah kebaikan itu mempunyai asas atau tidak?” (Al-I`tisam).
Empat,
Sheikh `Ubaidullah dan `Abdillah al-Jabiri menyatakan,
أقول يوم الجمعة دل الدليل على فضله، ومن القواعد المقررة أن فضل الزمان أو المكان لا يستلزمُ تخصيصه بعبادة، صيام أوصدقة أوصلاة لأن الأصل في العبادات الحذر إلا بنص
“Saya menyatakan bahawa hari Jumaat memiliki kelebihan berdasarkan dalil. Antara kaedah yang disusun ialah, kelebihan masa dan tempat tidak semestinya mengkhususnya ibadah-ibadah tertentu, seperti puasa, atau sedekah, atau solat. Ini kerana asas dalam ibadah ialah dilarang -untuk melakukannya- kecuali ada nas.”
هذه قاعدة يجب أن يفهمها كل مسلم ومسلمة لا سيما طلاب العلم منهم، لأنهم يُؤملُ منهم أن يعلموا الناس دين الله -عزوجل – حسب ما فقهوا من دين الله، يعلمون الناس من دين الله حسب ما فقهوا من الكتاب والسنة على أيدي علماء هيأ الله لهم الجلوس إليهم،
“Kaedah ini wajib difahami oleh setiap muslim dan muslimah, terutamanya penuntut ilmu. Ini kerana mereka yang diharapkan untuk mengajarkan orang lain tentang agama Allah `azza wa jalla berdasarkan kefahaman mereka terhadap agama Allah. Mereka yang mengajarkan orang ramai berdasarkan kefahaman mereka terhadap al-kitab dan al-sunnah di tangan alim ulama.
” فإذا تقرر هذا فإنه لا يُشرعُ في يوم الجمعة عبادة معينة، يُشرع نعم الغسل والتبكير إلى المسجد والإكثار من الصلاة على النبي – صلى الله عليه وسلم”
Justeru, tidak disyariatkan ibadah-ibadah tertentu pada hari Jumaat. Kita disyariatkan mandi sunat dan bersegera menuju ke masjid dan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi salla Allah `alaih wa sallam.”Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, kita memahami bahawa tiada satu pun nas daripada al-Quran dan sunnah yang mengistimewakan sedekah pada hari Jumaat.
Lima,
meskipun demikian, terdapat pernyataan seorang sahabat Nabi salla Allah `alaih wa sallam yang bernama Ka`ab radhiyallah `anh yang bercerita tentang kelebihan hari Jumaat.
فَقَالَ كَعْبٌ : أَلا أُحَدِّثُكُمْ عَنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ؟ إِنَّهُ إِذَا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ ، فَزِعَتْ لَهُ السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ ، وَالْبَحْرُ وَالْبَرُّ ، وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ ، وَالْخَلائِقُ كُلُّهَا ، إِلا ابْنَ آدَمَ وَالشَّيْطَانَ ، وَقَفَتِ الْمَلائِكَةُ بِأَبْوَابِ الْمَسْجِدِ ، فَيَكْتُبُونَ مَنْ جَاءَ الأَوَّلَ فَالأَوَّلَ ، حَتَّى يَخْرُجَ الإِمَامُ ، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ طَوَوْا صُحُفَهُمْ ، فَمَنْ جَاءَ بَعْدُ جَاءَ لِحَقِّ اللَّهِ ، وَلِمَا كُتِبَ عَلَيْهِ ، وَحَقٌّ عَلَى كُلِّ حَالِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ يَوْمَئِذٍ كَاغْتِسَالِهِ مِنَ الْجَنَابَةِ ، وَالصَّدَقَةُ فِيهِ أَعْظَمُ مِنَ الصَّدَقَةِ فِي سَائِرِ الأَيَّامِ ، وَلَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ وَلَمْ تَغْرُبْ عَلَى يَوْمٍ مِثْلِ يَوْمِ الْجُمُعَةِ “
…dan bersedekah pada hari Jumaat lebih agung dibandingkan sedekah pada hari-hari yang lain…” (Musannaf `Abd a-Razzaq, bab `Azum Yaum al-Jumu`ah, 5402) Apapun, semestinya kita perlu menilai sejauh mana kesahihan maklumat ini. Dan jika benar sekalipun, ia adalah ucapan sahabat Nabi bukannya hadith salla Allah `alaih wa sallam; yang pasti masih terbuka dengan kritikan ilmiyyah.
Enam,
Ibn Taimiyyah telah menggunakan penghujahan `aqliyyah untuk menggalakkan sedekah pada hari Jumaat. Berikut ialah kisah yang disampaikan oleh Ibn al-Qayyim.
وَشَاهَدْتُ شَيْخَ الإِسْلامِ ابْنَ تَيْمِيَّةَ قَدَّسَ اللَّهُ رُوحَهُ إِذَا خَرَجَ إِلَى اْلْجُمُعَةِ يَأْخُذُ مَا وَجَدَ فِي الْبَيْتِ مِنْ خُبْزٍ أَوْ غَيْرِهِ فَيَتَصَدَّقُ بِهِ فِي طَرِيقِهِ سِرًّا،
“Saya melihat Shaikh al-Islam Ibn Taimiyyah semoga Allah menyucikan rohnya, apabila keluar untuk solat Jumaat, beliau mengambil apa-apa makanan yang ada di rumah seperti roti dan seumpamanya lalu disedekahkan di pertengahan jalan secara rahsia.
“وَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: إِذَا كَانَ اللَّهُ قَدْ أَمَرَنَا بِالصَّدَقَةِ بَيْنَ يَدَيْ مُنَاجَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَالصَّدَقَةُ بَيْنَ يَدَيْ مُنَاجَاتِهِ تَعَالَى أَفْضَلُ وَأَوْلَى بِالْفَضِيلَةِ
“Dan saya mendengar beliau berkata: Apabila Allah Taala memerintahkan kita bersedekah apabila ingin berbincang dengan Rasulullah salla Allah `alaih wa sallam -ayat 12 surah al-Mujadalah-, maka lebih utama untuk kita bersedekah apabila ingin bermnajat kepada Allah Taala. “
Rumusan:
1- Tiada dalil yang sahih (tepat) dan sarih (jelas) menggalakkan sedekah pada hari Jumaat.
2- Namun, berdasarkan pandangan Ibn Taimiyyah, insha Allah kita digalakkan bersedekah pada hari tersebut dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Taala khsuusnya untuk mencapai masa terkabulnya doa.
3- Diingatkan janganlah kita menangguhkan-nangguhkan sedekah kononnya dengan niat untuk bersedekah pada hari Jumaat.
Wallah a`lam.
Saudaramu,Khair.
………………………………………
Sedekah kepada masjid-masjid dan surau-surau di aplikasi Sujood. Jimatkan masa, semak pendermaan lampau dan berkati rezeki anda.