
Ulasan ringkas;
1. Frasa “money is created out of thin air” itu sering disebut dalam konteks dan konotasi yang begitu negatif.
2. Betul, duit memang dicipta melalui hutang. Tetapi fakta itu perlu difahami dalam konteks yang adil, bukan dengan sentimen dan emosi.
3. Perbincangan ini tak dapat tidak mesti bermula dengan persoalan asas: “Apakah bentuk mata wang yang diterima Islam?”
4. Persoalan ini sangat panjang untuk dihurai dalam suatu posting FB sahaja. Memadai untuk kita tahu bahawa ulama memang berbeza pandangan dalam hal ini. Ada yang kata mata wang mesti bersandarkan komoditi seperti emas. Ada juga yang kata apa-apa bentuk pun boleh, selagi diterima uruf dan zaman.
5. Pendapat kedua itulah yang kini diterima pakai oleh majoriti para ulama di seluruh dunia pada hari ini.
6. Bagi orang awam yang tidak bersetuju dengan pendapat ini, silakan saja. Namun hormatilah khilaf. Dan hormati juga kaedah umum dalam fiqh yang menyebut, “khilaf itu terangkat setelah diputuskan oleh pemerintah”. Ringgit Malaysia itu matawang berbentuk legal tender yang sudah diputuskan sah oleh pemerintah. Tak nak terima, tak apa. Boleh saja sedekahkan duit ringgit, atau SGD masing-masing kepada orang lain yang memerlukan.
7. Baik. Setelah kita dah sampai kepada kefahaman bahawa – matawang fiat i.e Ringgit Malaysia itu juga adalah diterima dan sah di sisi agama, kita perlu juga faham suatu hakikat – setiap matawang ini perlu kepada suatu mekanisme yang mengawal jumlah dan menentukan kaedah pengeluarannya.
8. Ini benda asas. Setiap monetary system itu perlu kepada suatu kaedah untuk mencetak matawang yang digunakan. Hatta jika ia menggunakan matawang emas sekalipun, suatu kaedah pengeluaran jumlah emas yang efficient perlu dikaji bagi mengawal jumlah wang optimum yang ada di kalangan masyarakat. Bukan main lombong dan “mint” saja duit ikut jumlah emas yang ada. Sejarah kelam zaman mercantilism di Eropah sekitar 1500 hingga 1700-an yang mengumpul emas dari negara-negara yang ditakluki sehingga membawa kepada inflasi tak terkawal di negara mereka perlu diteladani.
9. Dalam sistem fiat moden, mekanisme mengawal bekalan wang dilakukan melalui fractional reserve banking dan pelbagai monetary tools lain yang dikawal selia ketat oleh bank pusat (BNM).
10. Ada pelbagai cara untuk menambah atau mengurangkan jumlah duit di kalangan masyarakat. Bank-bank berlesen menerusi aktiviti perbankan sudah tentu berperanan mencetak wang melalui hutang yang diberikan – Ini fakta asas dalam monetary policy, bukan suatu rahsia yang disembunyikan.
11. Adakah Bank boleh mencetak wang secara tanpa had? Ini dakwaan melalut yang tidak berpijak kepada realiti. Bank perlu mematuhi banyak syarat ketat yang ditentukan oleh Bank Pusat (BNM), bukan main cetak saja tanpa had. Formula [1/reserve requirement] yang dijaja merata-rata oleh orang yang mengkritik FRB itu adalah dakwaan tidak benar. Orang yang masih sebut benda ini patut malu kerana masih mengulang-ulang dan menyebarkan fakta tak tepat kepada masyarakat. Banyak negara termasuk Malaysia pernah mengurangkan reserve requirement sehingga sifar, tapi jumlah wang tak bertambah secara infiniti pun.
12. Adakah adil bagi Bank sebagai entiti swasta mendapat hak monopoli mencetak wang? Adil ni benda subjektif. Hakikatnya bank bukan dapat untung menerusi wang yang dicetak. Kalau orang tak bayar hutang, bank tetap kena rekodkan ia sebagai kerugian. Ini asas dalam perakaunan. Tambahan pula, dalam konteks Malaysia, hampir semua bank adalah milik kerajaan melalui pelbagai GLC dan agensi serta tersenarai sebagai syarikat awam di bursa saham yang bermaksud orang ramai juga boleh menjadi pemilik bersama dengan beli saham bank-bank ini.
13. Jika anda tetap tidak berpuas hati dan menganggap wang tidak sepatutnya dicipta melalui sistem perbankan pusat dan bank-bank komersil seperti sekarang, sila cadangkan suatu kaedah alternatif lain untuk mencetak wang.
14. Dalam perbincangan akademik, kita sedia maklum ada banyak teori yang dicadangkan sebagai alternatif. Namun setiap satu itu tetap tidak terlepas dari sebarang kritikan dan kelemahan.
15. Bagaimana dengan sistem perbankan Islam? Komen ringkas untuk persoalan ini – Kita dah jelaskan di atas bahawa keseluruhan mekanisme yang disebutkan itu adalah sistem monetary yang diguna pakai oleh negara kita pada masa ini yang tidak ada percanggahan jelas dengan mana-mana prinsip syara’. Adapun perbankan Islam, selagi mana ia berurusan dengan memastikan kontrak dan instrumen yang digunakan itu patuh Shariah, maka tidak ada masalah.
Kesimpulannya,
TL;DR – Matawang fiat diterima dalam Islam. Ya matawang fiat moden ini dicipta melalui hutang. Ia bukan skandal atau rahsia konspirasi yang disembunyikan. Ia mekanisme yang diguna pakai dalam sistem monetary sekarang yang dikawal selia oleh bank negara.
Tak suka sistem perbankan sekarang pun tak perlulah try hard sampai menggambarkan Bank boleh kun fayakun saja dan “puff” duit boleh dicipta secara infiniti tanpa sebarang kawalan atau had. Kerana fakta dan realitinya tidak begitu.
Wallahu a’lam.
WHH
MY

