Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud[11:112]) pada 23 Disember 2015.
Antara isunya adalah kepentingan dan kesukaran Istiqamah atau konsisten dalam melaksanakan arahan Allah.
Tidak semudah menutur di lidah, istiqamah atau senantiasa teguh dengan Islam memerlukan sesuatu yang sangat lebih. Lebih segalanya, lebih dari sudut akidah, akhlak dan amal soleh. Orang yang istiqamah akidahnya tetap bernafas dengan Tawhid. Walau apa datang melanda, Tuhannya hanya Allah. Akhlak senantiasa dijaga agar dirinya menjadi cermin Islam kepada yang lain. Amal solehnya juga konsisten walaupun tidak banyak. Dia tahu amal yang sedikit tetapi konsisten lebih baik dari amalan bertimbun tetapi bermusim. Sabda Rasulullah SAW ini dipegang dengan teguh:
Ertinya: ‘Aisyah RA menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang PALING DICINTAI ALLAH? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).
Arahan istiqamah bukan calang-calang! Ia ditegaskan khusus oleh Allah dalam surah al-Quran. Pastinya ayat yang mengarahkan istiqamah bukan untuk menjadi hiasan dinding tetapi perlu dipasak ke dalam hati:
Ertinya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud[11:112]).
Rasulullah SAW pun beruban apabila mengenangkan surah Hud:
Ertinya: (Isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban (Sunan al-Tirmidhi).
Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut. Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, ayat yang mengarahkan baginda agar senantiasa istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga seakan ia memutihkan kepala baginda SAW (Tafsir al-Razi).
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar turut istiqamah dalam imannya kepada Allah:
Ertinya: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya) (Musnad Ahmad).
Bukan setakat Rasulullah SAW, nabi Musa dan Harun AS turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman Fir’awn:
Ertinya: Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; “OLEH ITU HENDAKLAH KAMU TETAP (MENJALANKAN PERINTAHKU SETERUSNYA)”, dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)” (Yunus [10:89]).
Dalam memahami tuntutan istiqamah, kita tidak seharusnya mengurung makna istiqamah dalam kepompong kecil sahaja. Jangan ingat tuntutan istiqamah hanya berlegar dalam kandang politik, social, ekonomi atau penghayatan Sunnah sahaja. Kita perlu pancarkan makna istiqamah secara menyeluruh seiring dengan sifat Islam yang syumul. Tuntutan istiqamah perlu meliputi segala perkara dan ruang hidup manusia.
Jika ada hafiz al-Quran yang istiqamah mengulang kaji hafazan tetapi gagal memahami atau menghayati ayat yang saban hari dibacanya, dia belum benar-benar istiqamah. Jika ada pejuang politik Islam, pejuang akidah atau pejuang amalan Sunnah Rasulullah yang istiqamah dalam medan masing-masing tetapi gagal istiqamah dengan akhlak ketika berselisih pandangan, mereka belum benar-benar istiqamah. Kesimpulannya, seruan FASTAQIM atau TETAPLAH ISTIQAMAH dalam ayat 112 surah Hud terdahulu perlu merangkumi seluruh isi Islam merangkumi akidah, syariat dan akhlak.
Jika kita pernah terbabas daripada landasan istiqamah yang sebenar, usahlah bimbang kerana sebagai manusia kita tidak lepas daripada kesilapan. Apa yang penting kita perlu sentiasa memperbaharui istiqamah seiring dengan istighfar kepada Allah sebagaimana firman-Nya:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; MAKA HENDAKLAH KAMU TETAP TEGUH DI ATAS JALAN YANG BETUL LURUS (YANG MEMBAWA KEPADA MENCAPAI KEREDAANNYA), SERTA POHONLAH KEPADANYA MENGAMPUNI (DOSA KAMU YANG TELAH LALU). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain) (Fussilat [41:6]).
Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):
Ertinya: Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu (Fussilat [41:30]).
Marilah kita sama-sama menyinsing lengan, melipat kaki seluar dan mengatur langkah dengan gigih agar mampu terus istiqamah dalam memenuhi tuntutan agama. Agama ini adalah pakaian insan yang tidak boleh ditanggalkan sehingga mati. Meninggalkan istiqamah dalam sebahagian sudut agama boleh diumpamakan seperti seorang manusia yang berbaju tanpa seluar. Atau berseluar tanpa baju. Atau lengkap berbaju dan berseluar tetapi sebelah lengan bajunya hilang. Atau lengkap berpakaian tetapi kasutnya hilang sebelah. Pandangan ini Nampak sangat janggal dan pelik. Jauhi kejanggalan ini dan kekallah istiqamah dengan ajaran Islam secara syumul.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di: