
Fenomena spa mewah (high-end) mesra Muslimah semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Menawarkan perkhidmatan kesegaran dan kesihatan alternatif yang mewah, privasi dan holistik berlandaskan prinsip syariah, spa ini khusus untuk Muslimah yang mencari tempat untuk penjagaan kesihatan fizikal, mental dan rohani.
Namun, persoalan timbul tentang apakah spa mewah ini benar-benar keperluan, atau sekadar simbol kemewahan yang menjurus kepada pembaziran?
Spa sebegini memenuhi keperluan wanita moden sebagai tempat alternatif untuk penjagaan kesihatan fizikal dan mental yang berdepan dengan cabaran di tempat kerja serta tanggungjawab keluarga di rumah.
Dengan rawatan eksklusif yang ditawarkan oleh ahli terapi wanita, penggunaan produk halal dan ruang rawatan yang menjaga aurat, perkhidmatan spa mewah selari dengan keperluan gaya hidup sihat berlandaskan syariah.
Spa seperti Hammam Spa, Ozmosis Wellness Spa, dan Urban Retreat Spa misalnya, menawarkan pengalaman rawatan mewah yang mematuhi piawaian halal, termasuk pakej khusus untuk wanita Muslimah yang mahukan privasi.
Namun, ada juga pihak yang mengkritik spa mewah sebagai gaya hidup elit yang bertentangan dengan nilai kesederhanaan dalam Islam.
Harga rawatan yang tinggi menimbulkan persoalan tentang ‘israf’ atau pembaziran. Dari perspektif Islam, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara walau dibenarkan tetap dikira sebagai melampaui batas dan dilarang.
Contohnya, membeli makanan yang amat mahal untuk menghilangkan lapar. Pandangan ahli sosiologi Thorstein Veblen pula mengatakan bahawa kemewahan sering kali dikaitkan dengan keinginan mempamerkan kekayaan dan status sosial, bukannya untuk kegunaan praktikal.
Di Malaysia dan luar negara, spa halal mewah semakin berkembang dan menerima respons masyarakat yang berbeza-beza.
Ada yang memandangnya sebagai inovasi positif dalam pelancongan Muslimah, sementara yang lain meragui keperluan sebenar kemewahan sebegitu.
Penyelesaian mungkin terletak pada keseimbangan iaitu menawarkan pakej mampu milik, menggabungkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan mendidik tentang gaya hidup sihat yang sederhana di dalam model perniagaan spa mewah.
Akhirnya, sama ada spa mewah mesra Muslimah ini keperluan atau pembaziran bergantung pada niat dan cara penggunaan setiap pelanggan.
Artikel ini telah ditulis dengan kerjasama:
Dr. Arbaiah Abdul Razak, Penolong Profesor, Kulliyyah of Economics & Management Sciences, International Islamic University Malaysia

