
1. Dalam menceritakan perihal anak perempuan sahib Madyan, Allah SWT berfirman:
فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ…
Bermaksud: “Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. (al-Qasas: 25)
2. Para mufasir berbeza pendapat dalam menentukan hal (keadaan) pada lafaz ‘tersipu-sipu’ (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) adakah ia merujuk kepada fi`il ‘berjalan’ (تَمۡشِي) atau ‘berkata’ (قَالَتۡ) sebagaimana berikut:
Majoriti para mufasir menyatakan bahawa lafaz (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) merupakan hal (keadaan) yang menjelaskan bagaimana salah seorang anak perempuan sahib Madyan berjalan dalam keadaan sopan dan malu. Ini merupakan pendapat al-Tabari, Ibn al-Jauzi, al-Qurtubi, Abu Hayyan, al-Razi, Ibn Kathir, Abu Su`ud, al-Alusi, al-Maraghi, Ibn `Asyur.
Berdasarkan pendapat pertama ini, menurut Abu Su`ud dan al-Sofi lafaz (قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ…) daripada sudut tatabahasa Arab merupakan jumlah isti’nafiyyah. Berdasarkan kedudukan i’rab ini, menurut al-Dani waqaf adalah pada kalimah (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ), manakala al-Asymuni menyatakannya sebagai waqaf kafi.
Sebahagian para ulama seperti al-Sajawindi dan al-Razi menerusi pendapat keduanya menyatakan bahawa lafaz (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) merupakan hal (keadaan) yang merujuk perilaku anak perempuan sahib Madyan ketika berkata-kata dalam keadaan sopan dan malu.
Menurut pendapat kedua ini, kedudukan lafaz (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) dari sudut tatabahasa dinilai sebagai hal muqaddam kepada (قَالَتۡ) (al-Sajawindi; al-Ashmuni). Berdasarkan maksud ayat menurut pandangan kedua ini serta kedudukan tatabahasa tersebut, maka waqaf adalah pada kalimah (تَمۡشِي) bagi menjelaskan bahawa keadaan sopan dan malu tersebut adalah kembali kembali lafaz selepasnya.
3. Meskipun pendapat kedua ini dinilai sebagai takalluf (berlebih-lebihan) oleh sebahagian ulama seperti Ibn al-Jazari di dalam al-Nasyr, serta dilihat lemah oleh al-Nahhas, al-Dani dan al-Ashmuni, namun menurut pandangan Fadhl Hasan Abbas pendapat ini harus untuk diterima kerana ia membawa kepelbagaian maksud yang mengukuhkan kesopanan anak perempuan Sahib Madyan dari sudut gaya berjalan dan juga tutur kata yang sewajarnya menjadi cerminan kepada sifat malu bagi seorang wanita. Ini dikukuhkan dengan sebuah hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (2001) yang menceritakan kelebihan sifat malu iaitu:
الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Bermaksud: Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata.
Semoga bermanfaat.
=============================
Aspek | Tafsiran Pertama | Tafsiran Kedua |
---|---|---|
Rujukan Frasa | Merujuk kepada cara dia berjalan (تَمۡشِي) | Merujuk kepada cara dia berkata-kata (قَالَتۡ) |
Pendukung Utama | Majoriti mufassir seperti al-Tabari, Ibn al-Jauzi, al-Qurtubi, Abu Hayyan, al-Razi, Ibn Kathir, Abu Su`ud, al-Alusi, al-Maraghi, Ibn `Ashur | Beberapa ulama seperti al-Sajawindi, al-Razi (dalam salah satu pendapatnya) |
Sudut Tatabahasa (I’rab) | Frasa (قَالَتْ…) adalah jumlah isti’nafiyyah (ayat permulaan baharu). Waqaf pada (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) | Frasa (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) ialah hal muqaddam (keterangan keadaan yang didahulukan) untuk (قَالَتْ) |
Kedudukan Waqaf (Henti Baca) | Waqaf pada (عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ) — disokong oleh al-Dani dan al-Asymuni (waqaf kafi) | Waqaf pada (تَمۡشِي) bagi menunjukkan sifat malu itu merujuk kepada kata-kata selepasnya |
Penilaian Ulama | Diterima secara meluas | Dianggap takalluf (berlebih-lebihan) oleh Ibn al-Jazari, dan lemah oleh al-Nahhas, al-Dani, dan al-Asymuni |
Relevansi Moden | Menonjolkan sifat malu dalam berjalan | Menekankan sifat malu dalam berkata-kata |
Pandangan Seimbang (Fadhl Hasan Abbas) | Kedua-dua tafsiran harus diterima dan saling melengkapi — menggambarkan sifat malu dalam pergerakan dan pertuturan, selaras dengan nilai Islam terhadap sifat malu wanita | |
Hadis Sokongan | “Sifat malu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Sahih al-Bukhari, 2001) — menyokong sifat malu dalam berjalan dan berkata-kata |
=============================
Mushaf al-Mutqin Berserta Ayat Mutashabihat Lafaz boleh ditempah melalui link berikut: