1. Menyemat hafazan 30 juzuk dalam ingatan bukanlah suatu usaha yang mudah. Antara kesukaran terbesar ialah mengingati ayat mutasyabihat lafaz, iaitu ayat yang hampir sama namun ada sedikit perbezaan pada penambahan (ziyadah), pengurangan (hazaf), penukaran (ibdal), takdim serta takhir pada huruf atau kalimah yang berlaku dalam banyak ayat Al-Quran.
2. Waktu zaman mula menghafaz dulu, saya dan sebahagian sahabat² akan mencari secara manual ayat-ayat mutasyabihat lafaz tersebut disebabkan tiada teknologi digital pada waktu itu dan tiada sebarang buku yang dicadangkan untuk dijadikan rujukan.
3. Selepas carian secara manual dibuat, catatan berkaitan muka surat, surah, no ayat dan kadang2 kalimah yang perlu diingat akan dibuat di birai mushaf. Oleh kerana carian yang dibuat secara manual, kadang² ayat mutasyabihat yang ditulis tidak merangkumi semua ayat mutasyabihat lafaz yang sepatutnya ada.
4. Selepas munculnya di pasaran pelbagai mushaf yang dicetak dengan pelbagai maklumat di birainya, pada tahun 2013 diilhamkan idea untuk merekodkan ayat-ayat mutasyabihat lafaz di dalam mushaf dengan konsep yang sama. Saya kongsi idea tersebut dengan sahabat baik Dr Ustaz Muhammad Hafiz Saleh.
5. Tapi memandangkan waktu tu kami baru saja mendaftar sebagai pelajar phd, maka kami setuju untuk pendam idea tersebut sehingga tamat pengajian.
6. Setelah melapor diri semula ke fpqs selepas tamat cuti belajar, pada akhir tahun 2016 kami berdua bersepakat untuk menjemput PM Dr Khairul Anuar Bin Mohamad, Dr Muhammad Arif Musa dan Dr Norazman Alias untuk membentuk satu team penyelidik untuk melaksanakan projek ni.
7. Akhir 2016 kami memulakan pertemuan pertama dengan perbincangan untuk meletakkan metodologi pengumpulan ayat mutasyabihat lafaz. Pada awal 2017 kami memulakan pengumpulan ayat-ayat tersebut.
8. Pada awalnya kami menjangkakan proses pengumpulan ayat mutasyabihat lafaz ni mudah dengan hanya melakukan rujukan kepada buku-buku yang telah ditulis di dalam bidang ini, tetapi sangkaan kami meleset kerana banyak ayat yang boleh dikategorikan sebagai mutasyabihat lafaz tetapi tidak direkodkan di dalam kitab-kitab tersebut. Akhirnya kami menambahbaik sebahagian metodologi yang telah digariskan pada peringkat awal untuk memastikan ayat-ayat mutasyabihat lafaz dapat dihimpunkan secara lebih komprehensif.
9. Proses pengumpulan menjadi lebih mencabar apabila saya diuji dengan sedikit ujian kesihatan pada akhir tahun 2019 dan juga ujian PKP pada Mac 2020. Dalam fasa ini kebanyakan perbincangan kami berlangsung secara online.
10. Pada pertengahan tahun 2021 (masih tempoh PKP), proses pengumpulan ayat mutasyabihat lafaz untuk 30 juzuk al-Quran selesai dilaksanakan iaitu setelah hampir 5 tahun proses tersebut berjalan.
11. Bagi proses pengesahan, kami telah melantik dua tokoh tersohor bidang tahfiz di Malaysia iaitu guru kami Dr Abdul Jalal Abdul Manaf (UPSI) dan juga Ust Muhammad Firdaus Bakrin (MRSM Gemencheh) untuk proses penilaian. Alhamdulillah proses penilaian dan pemurnian semula berlangsung dalam tempoh 6 bulan.
12. Awal 2022 kami mengorak langkah untuk proses pembangunan layout. Setelah mencari beberapa syarikat yang boleh membantu kami untuk menerbitkan mushaf ni, akhirnya takdir Allah SWT menemukan kami dengan syarikat PTS melalui PTS Fast Publish Servises bagi membantu proses editorial penerbitan mushaf. Perbincangan pertama secara online bersama Tuan Ikram dan Puan Rafiza serta designer yang versatil iaitu Ust Azmi Mamat.
13. Setelah bersetuju dengan konsep layout, designer sangat pantas menyelesaikan layout pertama untuk semua 30 juzuk al-Quran hanya dalam sekitar kurang dari 9 bulan.
14. Namun cabaran yang terbesar bagi kami adalah untuk menyemak kesahihan semua ayat ayat-ayat al-Quran dan semua maklumat yang dicatatkan. Diringkaskan cerita, setelah 3 kali proses semakan dibuat dan selepas dua kali proses semakan oleh Lajnah Tashih Al-Quran KDN, alhamdulillah mushaf ini akhirnya mendapat kelulusan untuk diterbitkan. Terima kasih kepada pelajar kami Ust Azami Nawawi bersama team pelajar program pengajian sarjana muda Pengajian Qiraat USIM yang banyak membantu dalam semakan ketiga.
15. Semalam 21 November 2024, kami sangat bersyukur dan gembira kerana mendapat perkhabaran bahawa cop kelulusan telah diterima. Selepas ini kami akan bergerak ke fasa berikutnya untuk mencetak Mushaf al-Mutqin.
16. Meskipun coretan panjang ini tak mampu merekodkan setiap inci proses pembangunan mushaf ini, namun saya mengharapkan sekurang-kurangnya ia sedikit sebanyak dapat menyimpan cerita dan liku pengalaman hampir 8 tahun yang kami lalui.
17. Semoga usaha kecil ini dapat menyumbang kepada kemajuan pendidikan tahfiz di Malaysia dan seterusnya diganjari Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan projek Mushaf al-Mutqin.
18. Pensyarah, guru, pelajar, sekolah dan institusi tahfiz, serta para huffaz al-Quran secara umumnya sangat sesuai untuk menggunakan mushaf ini bagi membantu mengukuhkan hafazan. Kepada yang berminat untuk mendapatkan mushaf ini, kami akan maklumkan kaedahnya selepas proses percetakan selesai.
الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات.
Al-Faqir:
Sepang
6.50 petang
22 November 2024.
Jangan lupa untuk dapatkan Mushaf Al-Mutqin ini apabila sudah ada di pasaran kelak!