
Ada orang share yang lebih baik derma RM200 sebulan dekat masjid dan pasang niat “takaful kesihatan dengan Allah”. Insya-Allah, kalau sakit nanti Allah bantu.
Pada masa yang sama, ada juga yang cakap takaful ni tak berbaloi sebab bayar bertahun-tahun, tapi bila nak cancel tak boleh dapat balik semua duit yang dah dibayar.
Bagi saya, dua-dua pandangan ini sebenarnya menunjukkan satu perkara yang sama: tahap pemahaman masyarakat tentang konsep takaful masih rendah.
Kalau seseorang faham konsep takaful itu sendiri, dia akan faham bahawa asas takaful adalah tabarru’ atau derma.
Kalau setiap bulan dia derma RM200 kepada masjid dengan niat membantu orang lain dan berharap Allah mempermudahkan urusannya apabila ditimpa musibah, dari sudut semangatnya ia tidak jauh berbeza dengan konsep takaful. Dalam takaful, sumbangan itu masuk ke dalam dana risiko yang digunakan untuk membantu peserta lain yang ditimpa musibah.
Bezanya, dia bukan derma kepada masjid semata-mata, tetapi menyumbang ke dalam satu sistem perkongsian risiko yang tersusun dan diuruskan secara profesional.
Begitu juga dengan isu “bayar banyak tapi tak dapat balik bila cancel”.
Ramai melihat caruman takaful sebagai simpanan atau pelaburan.
Mereka kira:
“Kalau aku bayar RM200 sebulan selama 10 tahun, dah RM24,000. Kalau aku tak claim apa-apa, aku nak balik RM24,000.”
Tetapi sebahagian besar caruman takaful bukan simpanan. Ia adalah tabarru’ yang digunakan untuk membayar tuntutan peserta lain dan kos pengurusan dana.
Logiknya sama seperti kita menggaji pengawal keselamatan untuk menjaga rumah.
Kalau rumah kita tidak pernah dipecah masuk sepanjang tempoh dia bekerja, bolehkah kita minta semula semua gaji yang telah dibayar kepadanya?
Sudah tentu tidak.

Begitu juga dengan takaful.
Masalahnya, ramai masuk takaful dengan mindset simpanan atau pelaburan, bukan perlindungan risiko.
Sebahagian daripada keadaan ini juga berpunca daripada cara produk dijual. Apabila terlalu banyak fokus diberikan kepada cash value, pulangan atau duit yang boleh dikeluarkan pada masa hadapan, ramai pelanggan mula melihat takaful sebagai tempat menyimpan wang. Bila realiti tidak menepati jangkaan, mereka rasa kecewa dan merasakan mereka telah rugi.
Kenapa ramai orang anti takaful?
Pada pandangan saya, antara sebab utamanya ialah:
• Tidak memahami konsep tabarru’ dan perkongsian risiko.
• Menganggap semua caruman adalah milik mereka dan mesti boleh dikeluarkan semula.
• Pengalaman buruk dengan ejen yang menjual produk tanpa penerangan yang lengkap.
• Lebih banyak mendengar cerita orang yang tidak pernah claim berbanding keluarga yang benar-benar dibantu oleh manfaat takaful ketika ditimpa musibah.
• Kecenderungan manusia untuk lebih merasai “kehilangan wang yang dibayar” berbanding menghargai perlindungan yang tidak digunakan.
Jadi mungkin soalan yang lebih tepat bukan:
“Kenapa ramai orang anti takaful?”
Tetapi:
“Adakah mereka benar-benar faham apa yang mereka beli sejak hari pertama?”
Sebab apabila seseorang memahami bahawa takaful ialah mekanisme perkongsian risiko melalui konsep tabarru’, dan bukannya akaun simpanan atau pelaburan semata-mata, cara dia melihat caruman bulanan itu biasanya akan berubah sama sekali

