oudh palace x sujood

Malaikat Kenal Orang Suka Sedekah

malaikat kenal orang suka sedekah

“Boleh atau tidak memahat nama di langit. Apabila nama terpahat di langit, kita akan dicintai oleh para penghuninya?” Kenyataan ini seakan mustahil dicapai kerana kita sebagai penghuni bumi tak mampu tinggal di langit. Bahkan langit terus kekal misteri pada manusia. Sebenarnya tiada yang mustahil jika kita mendalami agama. Dalam sebuah hadith Rasulullah menyebut kisah si hamba yang dicintai Allah dan makhluk langit. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ

Ertinya: Abu Hurayrah berkata Rasulullah bersabda: “Apabila Allah Ta’ala cintakan seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berkata sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka hendaklah kamu mencintainya. Maka Jibril cintakan si fulan itu. Kemudian Jibril menyeru malaikat di langit dengan katanya ‘sesungguhnya Allah mencintai si fulan itu, maka hendaklah kamu semua mencintainya. Maka seluruh penghuni langit akan mencintainya. Lalu dijadikan rasa penerimaan (cinta kepada si fulan itu) kepada penghuni bumi (Sahih al-Bukhari & Muslim)

Inilah yang disebut Allah dalam firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَنُ وُدًّا

Ertinya: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai (termasuk makhluk langit) perasaan kasih sayang (Maryam [19:96]).

Subhanallah! Jika dikhabarkan ada orang besar lagi hebat bertanya khabar tentang anda, pasti anda tersenyum berasa bangga. Kembang kuncuplah hidung anda. Tidur malam dengan senyum simpul membawa mimpi indah. Itu baru pertanyaan seorang manusia. Bayangkan bagaimana pula perasaan anda jika Allah dan makhluk langit yang bertanya khabar atau menyebut nama anda!

Rupanya kisah nama manusia di bumi dikenal serta disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنْ الْأَرْضِ فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدْ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ مَا اسْمُكَ قَالَ فُلَانٌ لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ لِاسْمِكَ فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا قَالَ أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ

Ertinya: Abu Hurayrah meriwayatkan nabi SAW pernah bersabda:“

(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si Fulan itu!”

Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam. Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya Fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa.

Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si Fulan!” menyebut nama Anda. Apa yang Anda buat dengan kebun ini?”

Petani itu berkata, “Baiklah, kalau Anda katakana begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar daripada kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam) (Sahih Muslim).

Berdasarkan hadith di atas, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali oleh para malaikat kerana sedekahnya. Dalam dalam hadith lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَيَقُولُ الْآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Ertinya: Abu Hurayrah RA menyebut bahawa nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan ada akan 2 malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaiat satu lahi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith lain turut disebut perkara yang sama:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مَلَكًا بِبَابٍ مِنْ أَبْوَابِ السَّمَاءِ يَقُولُ مَنْ يُقْرِضْ الْيَوْمَ يُجْزَى غَدًا وَمَلَكًا بِبَابٍ آخَرَ يَقُولُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَعَجِّلْ لِمُمْسِكٍ تَلَفًا

Ertinya: Abu Abu Hurayrah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di langit ada satu pintu yang padanya ada satu malaikat yang berdoa – sesiapa yang bersedekah pada hari ini akan diberi ganjaran pada hari esok. Begitu juga ada satu malaikat pada pintu langit yang berdoa – Ya Allah berikan kepada orang yang bersedekah gentian dan segerakan kemusnahan kepada orang yang kedekut (Musnad Ahmad).

Bahkan dalam bulan Ramadhan, Jibril lebih banyak menemui Rasulullah SAW. Berikutan lawatan lebih masa Jibril itu, Rasulullah menjadi seorang yang sangat pemurah bersedekah pada bulan Ramadhan, seolah baginda mahu lebih menggembirakan Jibril yang sangat suka kepada sifat sedekah:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Ertinya: Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulangkaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadhan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadhan) seperti angin yang bertiup kencang (Sahih al-Bukhari).

Selain dikenal dan dicintai para malaikat, faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh ” (al-Munafiqun [63.10]).

Dalam firman lain Allah berfirman:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

rtinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; DAN APA SAHAJA YANG KAMU DERMAKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA; DAN DIA LAH JUA SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI“ (Saba’ [34:39]).

Benar sekali firman Allah ini; sedekah pasti berganti! Gantiannya pula sangat luas. Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita. Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali oleh para malaikat. Amin!


Dapatkan buku-buku tulisan Ustaz Abdullah Bukhari di link di bawah (sementara stok masih ada):

https://www.jtbooks.my/produk/kisah-malaysia-berkurung/

https://www.jtbooks.my/selamatkan

Ustaz Abdullah Bukhari

Pensyarah di Jabatan Tilawah al- Quran, Pusat Bahasa, UIAM dan Naib Presiden MURSHID
apabila kematian ibu bapa sujood

Apabila kematian ibu bapa…

Adakalanya kita sebagai anak-anak dikelabui dengan perasaan kasih dan sayang, cinta, emosi, lalu kita cuba ber’khidmat’ kepada ibu bapa yang sudah tiada dengan pelbagai cara.. Ada yang cuba menzahirkan kasih…
Read more
Kalau sayalah, saya tanam duit tu.

Kalau sayalah, saya tanam duit tu.

“Awak ni cari duit banyak-banyak, macamlah harta boleh bawak masuk kubur?” Biasa dengar dialog ni kan? Golongan ini takut dijangkiti penyakit terlalu Taasub kepada S satu tiang ($). ### Siapa…
Read more
Membasmi Covid 19 Dengan Sedekah dr arif musa sujood

Membasmi Covid 19 Dengan Sedekah

1- Saban hari ke hari, kita duduk menunggu untuk kes Covid menurun, namun apa yang kita tertunggu-tunggu masih belum tiba. Kerajaan pula telah melakukan pelbagai usaha untuk mengekang virus ini,…
Read more
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

MUAT TURUN APLIKASI

download sujood app in iphone appstore
download sujood app in google play
Aplikasi Sujood membolehkan anda menderma kepada mana-mana masjid & surau pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

MUAT TURUN APLIKASI

download sujood app in iphone appstore
download sujood app in google play
Testimonial Masjid
Aplikasi Sujood membolehkan anda menderma kepada mana-mana masjid & surau pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Sujood dibangunkan & diuruskan oleh Studio 61 Sdn. Bhd. (1379822–H)