Tajuk Asal Ust Syaari: Memurnikan Kefahaman “Kalau Kamu Bersyukur, Nescaya Aku Tambahkan Nikmat Itu
Firman Allah SWT :
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَىِٕن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِیدَنَّكُمۡۖ وَلَىِٕن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِی لَشَدِیدࣱ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Surah Ibrahim, 14 : 7
1. Barangkali ayat ini sering kedengaran dibacakan dalam seminar-seminar menjadi jutawan. Digambarkan bagaimana ayat ini mengajar jika kita selalu bersyukur dengan nikmat kekayaan, Allah akan menambah nikmat kekayaan itu dengan lebih banyak.
2. Dua istilah penting yang perlu kita faham dari ayat ini ialah “syukur” dan “nikmat”. Yang pertama disebut dengan jelas dalam ayat. Yang kedua tidak disebut dengan jelas, tetapi sedia difahami.
3. Apakah makna syukur dalam ayat ini ? Ia bermaksud melaksanakan kewajipan agama dan meninggalkan larangannya (Tafsir al-Tabari).
4. Bersyukur bukanlah sekadar melafazkan “alhamdulillah”. Tetapi melaksanakan kewajipan-kewajipan agama seperti solat dan zakat. Apa makna kaya kalau meninggalkan solat ? Apa makna kaya jika tidak berzakat, infaq dan waqaf ?
5. Apa pula makna pertambahan nikmat dalam ayat ini. Ibnu Abbas mentafsirkan nikmat yang ditambah itu ialah pahala. Al-Hasan al-Bashri dan Sufyan al-Thauri pula mentafsirkannya sebagai ketaatan. (Tafsir al-Alusi)
6. Ini bermakna, semakin seseorang bersyukur dalam erti kata yang sebenar, Allah akan menambah kepadanya pahala dan keinginan melakukan ketaatan.
7. Nikmat pada ayat ini juga boleh ditafsirkan sebagai nikmat ruhani (keimanan) dan nikmat jasmani. Nikmat ruhani itu berlaku apabila seseorang hamba lebih cintakan Pemberi nikmat berbanding nikmat itu sendiri (Tafsir al-Razi). Ini bermakna, semakin banyak nikmat dikurniakan Allah padanya disyukuri, semakin Allah menambah cintanya kepada Allah itu sendiri.
8. Pertambahan nikmat juga berlaku dalam bentuk pelbagainya kebaikan lain dari Allah di dunia atau gandaan pahala di Akhirat (Tafsir Ibnu Juzayy).
9. Kesimpulannya, para ulama tafsir tidak membataskan makna pertambahan nikmat kepada harta sahaja.
10. Nikmat yang dinyatakan dalam ayat berkenaan berbentuk umum tanpa pembatasan. Maka janganlah kita membataskan faham hanya pada nikmat material sahaja.
11. Mengambil kira ayat sebelum (ayat 6) pula, kita akan lebih jelas makna “syukur”. Nabi Musa a.s. mengingatkan Bani Israil agar bersyukur dengan nikmat kemenangan dari penjajahan Firaun.
12. Kemenangan ke atas Firaun bukanlah sekadar untuk memerdekakan Bani Israil, bahkan untuk menambah iman mereka yang rapuh sebelum kedatangan Musa. Pelbagai mukjizat di hadapan mata mereka dan peristiwa laut Merah seharusnya menatijahkan iman, thabat (ketetapan hati), ikhlas, dan amal soleh mereka bertambah-tambah. (Tafsir al Alusi).
13. Ini bermakna kesyukuran atas nikmat kemenangan akan menyebabkan Allah menambah-nambah iman dan amal soleh mereka.
14. Nabi Musa bukan meminta Bani Israil bersyukur dengan nikmat kekayaan harta kerana tiada emas dan permata tiba-tiba diturunkan dari langit ke atas mereka. Musa mengingatkan mereka agar bersyukur dengan mematuhi sepenuhnya perintah dan larangan dari Allah.
15. Mengambil kira ayat seterusnya (ayat 9), fikirkan sejenak mengapa Nabi Musa meminta Bani Israil mengenang apakah kesudahan kaum Nuh, kaum Aad dan kaum Thamud. Bukankah mereka ini kaum yang dikurniakan kekayaan dan kedudukan yang tinggi di mata manusia ? Menjadi kaya tidaklah salah, tetapi ambillah pelajaran dari kaum-kaum terdahulu yang gagal dengan ujian kekayaan.
16. Kesimpulannya, hendaklah kita faham erti bersyukur bahawa ia bukan sekadar lafaz di lidah tanpa penghayatan, bahkan mesti diterjemahkan dengan ketaatan. Manakala nikmat yang ditambah pula tidak terbatas hanya pada harta dan wang ringgit, tetapi juga nikmat keimanan, kebahagiaan, ketaatan, amalan dan segala bentuk kebaikan-kebaikan yang diinginkan manusia.
17. Ingatlah, menjadi muslim yang kaya itu sangat dituntut agama. Tetapi kekayaan itu mestilah didasarkan kepada kesyukuran dan kesedaran bahawa ia adalah ujian yang berat. Dengan kesyukuran dan kesedaran ini, seseorang akan selamat dari berpenyakit Qarun tanpa sedar. قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا !
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
19 Muharram 1442 H
Bangi